Menyusuri era memartabatkan kesenian dan kebudayaan Islam di persada dunia, ana terpanggil untuk berkongsi bersama-sama anda tentang minat ana dalam bidang seni khat ini.
Dengan izin Allah, tertunaslah minat terhadap seni khat dalam hati ana tatkala terlihat sebuah kitab khat milik Hj. Abdul Jalil bin Samad ( Pak Long ana ) yang dibelinya di Tanah Suci. Namun Allah lebih menyayanginya lalu menjemputnya untuk pulang. Ayuh kita sedekahkan Surah al-Fatihah buatnya agar beliau tergolong di dalam orang-orang yang dipayungi rahmat Ilahi.
Beransur-ansur ana menekap dan meniru khat-khat yang ada di atas kertas. Tetapi, ana masih belum boleh bangga kerana itu bukanlah buah pena ana sendiri. Pn. Salmah binti Samad ( Mak Ngah ana ) yang banyak membantu ana. Beliau giat mencari kursus, bengkel dan pertandingan untuk ana supaya minat ana boleh diperkembangkan.
*MUSABAQAH
Alhamdulillah dengan bantuannya, ana semakin mahir dalam bidang itu. Pada bulan Disember 2010, ana telah sertai Ihtifal Lil Atfal di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dalam pertandingan seni khat dan ana mendapat tempat kedua. Tahun hadapannya pula dalam Ihtifal Lil Atfal pada Disember 2011, saingan semakin sengit kerana ana bertemu dengan Amin al-Hadi ( finalis Adik-Adikku ) dan ana merupakan naib johan dalam pertandingan seni khat kali itu.
Tahun kedua ana di Maahad Lughatul Quran, ana terpilih untuk mewakili peserta seni khat bawah 15 dalam Ihtifal Ilmiah Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri Johor tahun 2011 yang dipertandingkan di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang. Akan tetapi rezeki ana bukan di situ. Ana tidak berjaya memenangi mana-mana tempat dalam pertandingan itu. Walaupun ada titisan yang mengalir dari mata ana, itu tidak bermakna perjuangan ana terhenti setakat itu. Banyak yang ana pelajari dari pengalaman sepanjang latihan dan pertandingan. Ustazah Nor Laili binti Masran ( mursyidah ana ) juga tidak henti-henti memberikan sokongan kepada ana supaya menyertai lagi pertandingan itu pada tahun hadapan. Ana tidak rela menghampakan harapan ustazah, lalu ana terima tawaran itu. bukan apa, ana bimbang perkara yang sama berulang pada tahun berikutnya.
Tahun 2012 merupakan tahun gembira ana kerana pada tahun itu, banyak pertandingan seni khat yang ana sertai dan mendapat tempat. Ana menjuarai pertandingan seni khat dalam Ihtifal Ilmiah peringkat sekolah.
Dalam Ihtifal Ilmiah Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri Johor pada tahun 2012 pula, ana mendapat tempat ketiga dalam pertandingan seni khat. Pertandingan tersebut dijalankan di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Segamat. Meskipun tempat ketiga, ana masih membanggainya kerana bagi ana bukan mudah untuk mendapat tempat di peringkat negeri tambahan pula bersaingan dengan pelajar bersekolah agama. Kemenangan ini membuktikan bahawa kegagalan pada tahun lepas bukan membawa erti kegagalan pada tahun ini malah membawa makna kejayaan.
Alhamdulillah buat kali kedua ana mendapat johan. Ana menjuarai Pertandingan Seni Khat Sempena Karnival Mahabbah Masjid dan Ulama' di Masjid Abu Bakar, Muar.
Kali ini ana mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Jawi dan Khat Sempena Program Sehari Bersama Jemaah di Masjid Putra, Putrajaya.
Sekali lagi ana mendapat johan. Ana mendapat johan dalam Ihtifal Lil Atfal di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Biiznillah, ana berjaya mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Tulisan Khat sempena Program Remaja Cintai Rumah Allah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Program ini dianjurkan oleh JAWI bersama pihak MTMZA.
*TAQWIM
Antara aktiviti-aktiviti yang ana jaya dengan karya seni khat ana adalah......
Pada Disember 2012, Pn. Aminah binti Saad ( kawan umi / pengusaha kantin Sekolah Rendah Agama Fatimah Az-Zahrah ) meminta pertolongan ana untuk menulis kalimah 'Bismillahirrahmanirrahim' pada dinding di kantin sekolahnya. Tanpa segan silu, ana terima tawarannya. Rasanya itulah kali pertama ana menulis khat pada dinding. tidak dinafikan memang ada rasa gementar. namun kuhijab rasa itu dengan zikrullah dan selawat buat Baginda. Meskipun, upahnya hanya RM30, namun nikmat yang ana kecapi tiada tandingan. Mungkin kerana ikhlas.
Pada Februari 2013 pula, Pn. Sapiah binti Ali ( jiran lama ) meminta bantuan ana untuk menulis 'Asmaul Husna' pada 99 pinggan kertas untuk ditampal di tadika anaknya ( guru tadika ). Memang mudah untuk ana menerimanya tetapi ana risau kerana esoknya ana akan pulang ke asrama. Ana bimbang tidak sempat menyiapkan tugasan itu. Atas dorongan umi dan ayah, ana terima tawaran itu dengan hat yang terbuka. Ana yakin Allah akan bantu ana kerana ana ingin membantu hamba-Nya. Walaupun upahnya RM50, ana gembira kerana ana akan mendapat ganjaran apabila ada orang yang menyebut nama Allah yang indah itu.
Pada Mac 2013 pula, Pn. Zaleha binti Ishak ( ibu sahabat ana ) meminta bantuan ana untuk membuat sebuah sepanduk bertema 'Maulidurrasul'. Ana terima tawarannya dengan riang kerana itulah kali pertama ana berkarya pada kain rentang. Alhamdulillah, ana berjaya menyiapkannya dalam tempoh setengah hari. Ana gembira sangat-sangat atas kejayaan itu dan gajinya RM60. Thanks Rabbi!
Di sekolah pula ada juga permintaan dari Persatuan Bahasa Melayu ( PERBAYU ) dan Kelab Kesenian dan Kebudayaan Islam ( KDKI ) yang ingin ana menulis nama kelab tersebut di sudut kelab.
Akan datang, ana akan menulis khat di musolla sekolah ana pula...
*BENGKEL
Bengkel dan kursus khat yang ana sertai pula...
Kursus khat pertama yang pernah ana sertai adalah Kursus Khat Sempena Karnival Mahabbah Masjid dan Ulama' di Masjid Abu Bakar, Muar pada pertengahan tahun 2012.
Tanggal 23 Mac 2013, ana sertai Bengkel Penulisan Khat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bersama Ustaz Muhd Asrak bin Osman. Bengkel ini dijalankan mengikut siri 1 dan siri 2, namun ini merupakan siri 1 dan ana berharap agar ana dapat sertai pada siri 2 pula. Bengkel ini tidak dinafikan sangat menarik melalui pengisian dan cara penyampaiannya yang seronok.
Ana juga sempat bergambar bersama Imad ( penulis khat ) di pusat beli-belah Shah Alam.
Bersambung.......
No comments:
Post a Comment