Tuesday 11 December 2012

Cerpen : Fajar Dhuha




*Hari Pertama
Aku masih setia di jendela asrama Qasrul Ameer bertemankan embun dara yang hampir menitis dari daun yang menghijau. Bayu subuh yang menghembus bersama dedebu melankolik yang melintasi wajahku. Celaru fikiranku diserabuti ketidakpercayaan terhadap seseorang.
Serabut fikiranku.
            “Hilal, bukan aku nak fitnah Adam tapi memang dia yang tuduh kau. Aku dengar dengan telinga aku sendiri” jelas Helmi yang masih terngiang-ngiang di pendengaranku. Kata-kata Helmi itu seperti radio rosak yang berulang-ulang.
Semalam duit Cikgu Raha telah hilang di dalam bilik guru pada waktu rehat. Dalam masa yang sama, aku dan Helmi ada di dalam bilik guru untuk menghantar buku karangan Bahasa Melayu di atas meja Cikgu Raha. Kata Helmi, Adam menuduh dan melaporkan pada guru disiplin bahawa aku yang mencuri duit Cikgu Raha itu.
Pada awalnya Cikgu Raha sukar untuk mempercayai, tetapi setelah dia menemui duit itu di dalam beg sekolahku, Cikgu Raha mati-mati percayakannya. Bukan apa, aku baik dan rapat dengan cikgu-cikgu di sekolah. Bagi mereka aku baik dengan mereka kerana ada udang di sebalik batu.
Aku dijatuhi hukuman sebatan sebanyak lima kali di khalayak ramai. Tatkala rotan cikgu disiplin itu hinggap ke punggungku, semakin marak api dendamku terhadap Adam.
“Selama ini aku anggap kau kawan aku. Rupanya kau kawan makan kawan” bisikku sendirian.
            Baru sahaja selepas solat Subuh tadi Adam mengucapkan salam kepadaku. Jawabku dengan perlahan. Ikutkan hati mahu sahaja aku membisu tadi. Ustaz pernah berpesan bahawa menjawab salam itu adalah wajib dan ia juga antara hak-hak persaudaraan. Aku sempat melemparkan jelingan padanya. Aku yang memutuskan tali persahabatan ini. Aku yang mencipta garisan permulaan dosa besar ini.
            Sesudah aku menyarung kasut sekolah terus aku keluar dari dorm tanpa menunggu Adam. Selalunya aku akan ke sekolah bersamanya. Tetapi hatiku betul-betul sudah terluka. Manakan tidaknya, sahabat sendiri menikam diri dari belakang. Hati mana yang tidak sakit.
            “Kring!” loceng menandakan waktu rehat berbunyi. Aku menyeret kerusi ke belakang dan terus menuju ke kantin bersama Helmi. Kebiasaannya aku ke kantin bersama Adam. Sejak perkara itu berlaku, aku ke kantin bersama Helmi.
Aku terdengar bunyi derapan tapak kasut daripada belakang seolah-olah ada seseorang yang mengejarku dari belakang. Terus dia menyapa bahuku.
            “Hilal, kenapa kau tinggalkan aku? Penat aku kejar kau” ujar Adam sambil nafasnya dihembus laju. Barang kali letih kerana berkejaran ke kantin tadi. Adam mengidap penyakit semput dan lelah. Dia yang kemiskinan oksigen terus menyelup sakunya untuk mengambil pam mulut. Tergopoh-gapah dia mengeluarkannya. Aku terus mengambil pam mulut tersebut lalu mencampakkannya ke dalam longkang di tepi kantin itu.
“Hilal biarkan dia! Biarkan dia mati saja di situ” hasut Helmi. Aku tersenyum gembira. Helmi terus menarik tanganku tanpa menghiraukan Adam. Aku tinggalkan Adam berseorangan di situ. Masih ada rasa simpati dalam hatiku terhadapnya.
Perlahan-lahan angin simpati meniup dadaku.
Sedang makan di meja kantin, aku menoleh ke kanan dan ke kiri mencari-cari kelibat Adam. Tidak juga aku nampak susuk tubuhnya. Mungkin dia ke musolla. Kebiasaannya selepas makan, dia akan menunaikan Solat Sunat Dhuha di musolla.

Di surau juga kucuba ghaibkan Adam dari 
pandanganku. Perlahan-lahan dia menghampiriku. Aku mula disapa rasa gelisah dengan lakonanku.
"Hilal, cikgu Firda bagi kerja apa tadi?" soalnya. Aku membisu walaupun kata-kata telah kumamah dalam telinga. perlahan-lahan dia pergi, mungkin dia memahami apa yang kuinginkan. senyuman sinis terlukis di bibirku.
“Ah, kawan beribu dalam dunia ini. Kenapa aku asyik mahu kejarkan Adam?” bicaraku kepada hati. Aku menepuk bantal dan tilam. Setelah membaca doa tidur, perlahan-lahan aku rebah di pembaringan.

*Hari Kedua
Tirai mataku terbuka perlahan. Bingkas aku menggapai tuala. Tiba-tiba aku terpandang Adam yang masih tidur. Setiap pagi, aku akan kejutkan Adam dari tidur.
“Ah, lantak kau! ” dendamku bermonolog. Seusai mandi, Adam masih membuai mimpi. Ada juga rasa ingin mengejutnya namun Helmi menghalang.
Hasad.
“Buat apa kau nak kejut budak tu. Dia dah fitnah kau! Biarkan dia lambat ke sekolah. Solat Subuh pun entah ke mana” kata Helmi sambil memakai jam tangannya yang berwarna ungu.
Cikgu Rashidah masuk ke dalam kelas. Dia terus memulakan sesi pembelajarannya. Kelihatan Adam tergopoh-gapah masuk ke kelas. Dengan rambut tidak disisir, tali leher tidak dipakai kemas dan kasut tersalah sarung, dia mengetuk pintu kelas. Semua terpandang ke arahnya. Terbahak-bahak semua pelajar tertawakannya. Cikgu Rashidah menyuruh Adam berdiri di kaki lima sebagai denda lewat ke sekolah. Aku tidak sanggup untuk tertawakannnya. Aku terpandang ke arahnya, dia masih tersenyum manis kepadaku.
Setelah waktu persekolahan tamat. Aku terus melulu keluar dari kelas, namun tiba-tiba terasa bahuku disentuh. Aku berpaling. Adam rupanya. Semula aku ke dalam kelas.
“Hilal, tinggalkan saja budak selekeh tu! ” kata Helmi yang sedang berjalan di kaki lima kelas lalu menuju ke tangga. Sekarang hanya tinggal aku dan Adam sahaja di dalam kelas.
“Hilal, sekarang kau cakap dengan aku. Apa salah aku, apa dosa aku yang membuatkan persahabatan kita musnah? ” perlahan kata-kata Adam menyapa gegendang telingaku.
Lemah.
“Ah, kau dah fitnah aku! Kau cakap pada cikgu disiplin yang aku curi duit Cikgu Raha. Sekarang cikgu-cikgu dah tak percaya aku. Puas? Itu yang kau mahukan?” teriakku, tidak dapat menahan emosi. Sudahlah fitnah, pura-pura tidak tahu pula.
“Astagfirullah! Demi nama Allah aku tak fitnah kau! Sumpah, sumpah aku tak buat apa yang kau cakapkan Hilal. Fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh. Kitakan kawan dari dulu, mana mungkin aku nak tikam kau dari belakang” jelas Adam. Serak sayu suaranya berlalu bersama air mata hingga membuatkan dia rebah melutut ke lantai kelas. Bukan apa, dia tidak mahu persahabatan antara dia dan aku musnah.
Sayu.
Kesedihan yang membaluti raganya membungakan hatiku. Barang kali kerana dendamku terbalas.
“Sudahlah Adam” teriakku lagi. Aku menolak tubuhnya dengan kakiku kananku. Kali ini memang benar aku tidak mampu menahan nafsu amarahku. Adam hanya mampu terdiam. Dia tidak mahu mengangkat tangan dan kakinya ke tubuhku. Mungkin dia masih mempunyai belas kasihan terhadapku.
“Hilal, cepatlah! Penat aku tunggu kau kat bawah tadi. Sudah, jom! ” ajak Helmi sambil menarik tanganku. Adam tunduk membisu tanpa menghiraukan kehadiran Helmi. Aku dan Helmi meninggalkan Adam yang melayan perasaannya.
Bulan purnama hadir ke langit. Hadir menjalankan tugasnya untuk memantulkan cahaya matahari ke arah muka bumi. Bulan purnama tidak sendirian kerana ditemani bintang-bintang gemerlapan.
Indah.
Aku juga tidak sendirian kerana ditemani rasa celaru yang berbaur dengan gusar. Duduk aku di tangga asrama. Sedang elok semua penghuni asrama membuai mimpi, aku asyik memikirkan tentang Adam. Tiba-tiba aku terasa seperti ada seseorang hadir dari belakangku.
“Hilal. Tak tidur lagi?” soal Rasyidi. Dia mengusap bahuku. Aku menggeleng perlahan.
“Maaflah kalau aku menyibuk urusan kau. Aku nak tanya sikit, kenapa kau dengan Adam tak rapat macam dulu? ” soal Rasyidi. Ada sedikit bimbang di wajahnya. Aku membisu lagi.
“Kenapa kau gaduh dengan Adam? Kau lebih percayakan Helmi yang baru setahun kau kenal berbanding Adam yang tiga tahun kau kenal. Kau dah siasat ke apa betul Adam yang fitnah kau? Aku tahu, ini semua angkara Helmi”
“Kau jangan tunding jari pada Helmi! ” aku mula bersuara sambil menunding jari ke arah wajah Rasyidi. Jari telunjukku tepat ke arah batang hidungnya.
“Bukan aku nak salahkan Helmi tapi memang dia yang bagitahu cikgu disiplin yang kau curi duit tu dan dia cakap itu semua laporan daripada Adam. Duit Cikgu Raha tu, dia yang ambil dan dia juga yang letakkan dalam beg kau. Kau memang tak perasan semua ni. Sedarlah Hilal! Hargailah Adam sementara dia masih ada lagi” jelas Rasyidi sambil memegang kedua-dua bahuku. Nampaknya dia bersungguh-sungguh mahu mendamaikan kami.
Bukan apa, besar ganjarannya jika kita mendamaikan antara dua manusia yang sedang bertelingkah. Itu janji Allah!
Subhanallah!
“Betul ke?” soalku.
“Betul! Lagipun buat apalah aku nak bohong kau. Ini semua demi persahabatan kau dan Adam. Sudah berapa hari kau tak bertegur dengan Adam?” lebar kata-kata Rasyidi.
“Dua hari” perlahan suaraku.
“Islam mengajar kita supaya berkasih sayang antara satu sama lain, bukannya bermusuh. Kalau masuk hari ketiga kau tidak berbaik dengan Adam, kau terpaksalah pikul dosa besar. Aku nak esok kau berdamai dengan Adam” ujar Rasyidi lagi. Aku mengangguk setuju.
Entah mengapa kalimahnya mudah sekali untuk aku terima. Mungkin pintu hatiku sudah terbuka untuk berdamai dengan Adam.
“Dari kelipan mata kau, hembusan nafas kau, aku tahu kau masih sayangkan dia sebagai sahabat kau!” kata Rasyidi lagi.

*Hari Ketiga
Loceng tamat waktu rehat berbunyi. Aku sendirian masuk ke dalam kelas. Setiba di pintu kelas, aku ternampak Helmi memasukkan duit dari beg aku ke dalam beg Adam. Segera aku mengundur dan berselindung di sebalik pintu.
“Masyaallah, betulkah apa yang aku nampak? Apa yang aku dah buat pada Adam? Aku dah zalimi dia ” bisikku sendiri. Tanpa berfikir panjang, terus aku masuk ke dalam kelas. Aku berdiri di hadapan Helmi dan melemparkan sebiji buku lima ke arah wajahnya.
“Kau kenapa? ” soal Helmi kebingungan.
“Kau dah fitnah Adam. Kau dah musnahkan persahabatan kami, kau boleh tanya aku kenapa?” teriak aku yang tidak dapat mengawal kemarahan.
“Oh, memang aku yang fitnah Adam. Kau nak tahu kenapa? Sebab kau buat aku macam tunggul dari awal tahun. Aku nak kawan dengan kau, kau asyik layan Adam saja. Bila kau gaduh dengan Adam, baru kau cari aku. Aku nak kawan dengan kau, kau buat aku macam sampah bila ada Adam” jawab Helmi. Tanganku hampir saja mahu dihayun sekali lagi ke arah wajah Helmi, namun dihalang oleh Adam.
Selepas waktu persekolahan, Adam tidak lagi kelihatan. Aku mahu berjumpa dengannya, mahu berdamai. Aku terus mencari Adam hingga suis lampu dipadam namun Adam tidak juga berada di katilnya.
“Ha, Adam ada di musolla. Waktu begini dia akan qiamullail ” ujarku. Aku terus menyarung selipar dan pergi ke musolla.  Adam masih di dalam qiamullail, dia sujud ke arah kiblat. sejam berlalu, namun Adam tidak juga bangun daripada sujud. Barangkali dia terlalu khusyuk. Aku menuggu dengan penuh kesabaran. Hatiku terpanggil untuk mendapatkannya. Perlahan-lahan aku menuju ke arah Adam. Aku cuba memanggilnya, tetapi tiada sahutan. Perlahan-lahan aku meletakkan jariku pada nadinya. Tersentak, nadinya tidak berdenyut.
Kaku.
Masyaallah.
“Innalillahiwainalillahirajiun! ” aku rebah di sebelah sujud Adam.

*Hari Keempat
Fajar Dhuha hadir ke langit. Hadir menjalankan tugasnya untuk menerangi muka bumi. Fajar Dhuha sendirian di dada langit.
Setelah pengebumian arwah. Seperti sendiriannya fajar di kala dhuha, seperti itulah aku. Aku duduk sendirian di taman. Namun ada bayu kesal yang menghembus sejenak ke ruang hatiku.
Layu.
“Ambillah warkah ini. Arwah sempat kirimkan pada aku. Dia pesan, kalau dia sudah tiada, baru aku boleh bagi warkah ini pada kau” kata Rasyidi lalu pergi meninggalkan aku sendirian. Aku membuka warkah itu di bawah sinaran Fajar Dhuha.
“Assalamualaika bissalamil khair ya akhi! Andai warkah ini dibuka, maknanya aku sudah tiada di dunia ini lagi. Ingatkah kau kali pertama kita bertemu? Kita bertemu sewaktu kita menunaikan Solat Sunat Dhuha bersama-sama di musolla. Itulah pertemuan indah kita yang pertama. Saat kita gelak ketawa, saat kita menangis berduka. Setiap titisan hujan dan hembusan bayu, itulah doa persahabatan aku untuk kau. Aku mohon maaf atas segala khilaf aku sepanjang kita menjahit langit persahabatan bersama-sama. Maafkan aku kerana tidak berterus terang bahawa aku mengidap penyakit barah otak yang kritikal. Aku simpan semua ni untuk mengelakkan rasa simpati kau. Segala yang berlaku kepada aku, aku ceritakan kepada Rasyidi sebab dia jiran aku sejak kecil lagi. Apa yang aku mahukan, kau berbaik dengan Helmi, jadikan dia sebagai pengganti aku. Ingatlah, kita sahabat sampai ke syurgawi. Assalamualaika sahabatku! ”
Menitis air jernih dari mata.
Namun tidak dapatku menahan apa yang terisi di hati ini lalu berjuraian air mataku di atas warkah itu. Titisan demi titisan air jernih itu dipancar Fajar Dhuha. Fajar Dhuha ini yang menemukan aku dengan Adam dan Fajar Dhuha ini jugalah yang memisahkan aku dengan Adam. Aku yakin inilah takdir yang sudah tertulis yang mesti aku lalui. Segala takdir-Nya pasti mempunyai natijah yang haq di akhirnya.
Fajar Dhuha tersenyum kepadaku.
“Assalamualaika! ”salam itu menyapaku.
“Alaikassalam Helmi! ” jawabku mesra. 







No comments:

Post a Comment